Salam dakwah dalam kesegaran hembusan helaaan nafas kerinduan tarbiyyah, semoga nafas ini tetap segar terhela dari tubuhku sehingga nafas yang terakhir. Tertarik dengan keunikan puisi tulisan seorang ukhti. Semoga nilai garapan beliau membawa ibrah kepada kita semua dalam mengekalkan momentum sebagai seorang ghuraba'.
Bismillah.
Salam dakwah buat semua.
Sekian lamanya, sekembali aku pulang dari bumi United Kingdom, aku menyepi seketika.
Hanya menulis sebuah travelog yang tiada harga buat bacaan semua.
Meniti titian dakwah ini,
tanpa sedar, sudah sekian lama kalau dikira bilangan saatnya.
Betapa berharga setiap saat nyawa dan helaan nafas kita berada dalam jalan menuju redha-Nya ini !
Dalam gerabak dakwah yang terus melaju ini,
kita akui kita tidak mahu lagi tertinggal.
Tertinggal dalam melakukan perubahan.
Tertinggal dalam melakukan anjakan.
Tertinggal dalam melakukan peningkatan demi peningkatan.
Inilah diri seorang daie.
Daie yang diberi acuan tarbiyyah saban hidupnya.
Dengan tarbiyyah, dia memajukan diri.
Dalam gerabak dakwah ini,
kita melewati stesen-stesen manusia yang pelbagai hentinya.
Memahami bahasa tubuh dan gerak-geri mereka.
Cuba untuk menyeru mereka menaiki gerabak dakwah yang sedang melintasi mereka ini.
Tetapi apakan daya,
usaha seorang daie tetap hanya usaha seorang manusia.
Bezanya, usaha kita memiliki semangat ‘ Man Jadda Wajada’.
Kita berterusan usaha bagai tiada hentinya.
Kita berterusan usaha bagai tiada hujungnya.
Bersama-sama kita,
dalam gerabak dakwah ini,
angkatan para dua’t dari pelbagai bahagian dunia.
Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini memang terdiri dalam kalangan manusia yang baik-baik.
Ada yang dunia mereka dahulu, bersimbah jahiliyyah yang pekat.
Ada yang dunia mereka dahulu, telahpun mengenali erti dakwah dan tarbiyyah sejak lahir.
Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini hanya biasa-biasa.
Ada yang dunia mereka dahulu, takut untuk menjadi daie !
Pelbagai.
Unik sungguh bila kita mampu untuk berhimpun dalam satu gerabak yang sama !
Episod demi episod dakwah kita jalani bersama.
Pahit, manis,
Suka dan duka, kita nikmati bersama.
Mungkin berlainan dunia,
tetapi kita jemaah manusia yang sama mimpinya,
sama tinggi iradahnya !
Kita punya gelaran yang sama.
Gelaran yang diberi Tuhan yang Maha Kuasa.
Kita diberi pencerahan untuk memahami hidup sebagai seorang hamba.
Kita ditunjuki cara untuk menjalani hidup sebagai seorang khalifah.
Jauh sekali kita berbangga dengan gelaran ini.
Kerana pada lahiriahnya, kita tetap sama dengan mereka yang di luar gerabak dakwah ini.
Mungkin beza pada hati.
Hati kita yang sudah memahami.
Hati mereka yang masih terkial-kial mencari pintu mana yang boleh dibuka.
” Tolong aku wahai si pulan di dalam gerabak, tunjukkan padaku mana satu pintunya.”
Menjadi tugas kita untuk membantu mereka.
Menunjuk muka-muka pintu kebenaran.
Dan kita terus bergerak melewati masa dan keadaan ummah.
Masa terus berjalan mencemburui kita semua.
Keadaan ummah terus diumbang-ambing seolah sedang mengugut kita untuk terus berjuang.
Utara Selatan, Timur dan Barat.
Semua sudut bumi belum lagi kita habis jelajahi.
Adakah patut kita mengambil sikap putus asa lalu mengundurkan diri ?
7 hari seminggu, 24 jam sehari.
Semua masa yang diberi ini masih lagi berbaki.
Adakah patut kita mengaku berpenat lelah menggalas segala tanggungjawab yang diberi ?
Orang di luar gerabak masih mencari.
Dan jika mereka tidak pun mencari,
tetap kita harus berusaha untuk menunjukkan pintunya.
Meski kita dipandang pelik dalam arus ‘kemajuan’ jahiliyyah ini,
kita harus memintasnya dengan cepat berbekalkan sendi-sendi yang masih teguh berdiri ini.
As-Syahid Syed Qutb |
Jalan yang kita akui payah ini,
terkadang kita sendiri lupa mencari di mana kepayahannya.
Percayalah,
Bila kau diberi kepayahan itu, tandanya kau sedang berusaha.
Bila kau diberi masalah, memang kau telah ditakdir-Nya untuk diduga agar sentiasa dekat pada-Nya.
Berkata payah sahaja tidak mencukupi selagi mana kau tidak merasainya sendiri.
Cuba sekali-sekala mencari kepayahannya.
Kelak akan terasa manisnya.
Barulah kau akan fahami sunatullah jalan dakwah ini.
Ya, payah dan penat adalah intipati jalan ini.
Stesen demi stesen kita berhenti.
Setiap siku dakwah pasti ada kepayahannya yang tersendiri.
Ada manusia yang dahulunya sama upayanya dengan kita, malah dialah pembakar semangat semua.
Tapi kini, dia hilang dikaburi kepentingan-kepentingan dunia yang lain.
Ada manusia yang dahulunya dialah paling malas dan lambat,
tetapi sekarang dia semakin melaju memintas kita !
Ini pula ragam dalam gerabak.
Bukan sempurna semuanya.
Bukan manis madu sahaja yang terasa.
Apa yang aku kagumi pada gerabak cinta ini adalah hammasahnya,
ikatan hatinya,
persamaan fikrahnya !
Biarpun kita asing,
tetapi kita asing bersama-sama.
Andai manusia di luar tidak dapat menerima kita,
sekurang-kurangnya manusia di dalam gerabak ini masih lagi bersama kita.
Dan di tengah-tengah keasingan inilah,
ternyata keadaan ini amat menduga kita.
Pandangan kacau melihat terlalu banyak benda yang kurang selesa.
Hati pula meronta-ronta sambil berkata,
” Selautan manusia ini sasaran kita semuanya.”
Peluh mula keluar.
Tidak tahu mana satu yang perlu dimulakan dahulu.
Buntu mencanang idea agar kerja yang banyak ini punya satu kaedah yang menjimatkan masa.
Janji yang terlafaz perlu ditunaikan.
Mengangkat telunjuk lima kali kita bersyahadah melafaz kata,
” Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah. Dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Janji ini bukan kerana terpaksa.
Tetapi janji ini demi keuntungan kita semua.
Janji ini bukan beban-beban.
Tetapi janji-janji ini jaminan.
Jaminan untuk kita tercatat sebagai penghuni syurga-Nya !
Dan gerabak inilah menjadi cara untuk melunaskan janji-janji yang terpatri.
Jalan dakwah dan tarbiyyah ini memberi hembusan baru kepada kehidupan biasa yang kita lalui.
Sehingga kita menjadi luar biasa !
Segalanya bisa menjadi indah.
Berada dalam gerabak yang sama.
Di atas landasan yang sama.
Memandang ke luar jendela dengan pandangan yang sama.
Memesan kopi yang sama buat penghias seri perjalanan kita.
Berbicara dengan rentak kalam yang serupa.
Tidakkah manis itu ??
Teruslah berhijrah dengan gerabak ini.
Aku tahu, pasti bermakna.
Aku tahu, pasti berguna.
Kerana dalam gerabak ini, kau akan dapat mencapai impian dengan cara termulia.
Dalam gerabak ini, kau akan kalis cinta-cinta dunia.
Dalam gerabak ini jugalah, kau akan mencipta sejarah kemenangan yang telah tercatat di Luh Mahfuz-Nya.
Meski gerabak ini terlalu banyak likunya,
nampak ‘usang’ buatannya,
tetapi ingatlah,
enjin gerabak ini telah terbakar sejak lebih 1400 tahun dahulu lamanya.
Bermula dengan utusan yang mulia,
kemudian disambung para sahabat yang tercinta,
sehingga satu ketika dahulu,
gerabak mereka sampai di stesen puncak kemenangan.
Sekarang, kita menjadi golongan yang seterusnya.
Memegang untaian gerabak yang menjadi sisa akhir zaman ini.
Berada di dalam gerabak untuk mencari semula di mana kemenangan yang menghilang seketika.
Biarkan enjinnya terus terbakar,
Dan kau penuhkanlah gerabak ini dengan jutaan manusia.
Bukan hanya membiarkan ia berjalan tanpa isinya.
Terus membakar tetapi melepasi pandangan mata begitu sahaja.
Kitalah yang rugi kerana terlepas membeli tiketnya.
Miliki sebelum terlewat.
Beli dengan harga iman.
Perjalanan semakin laju,
jika tidak kau kejar, kau yang haru.
sekian,
mylittlepencil yang juga di dalam gerabak usang ini……
sumber : Ghuraba' Dalam Gerabak
No comments:
Post a Comment