Sunday, January 22, 2012

Demi Melakar Sebuah Cinta Agung

Dengan nama Tuhan yang Husna..
Izinkah kalamku berbicara denganmu wahai sahabatku..

Pada sebuah rasa yang tersingkap,
Meski zahirnya hati tegap menghijab,
Namun fizikal merelakan fitnah meresap.

Naluri daieku menggertak,
Bukan pada cemburu pada kemanisan cintamu,
Tapi pada pasaknya sebuah kasih kerana Allah,
Takkan kubiar dirimu berada dijurang neraka.

Kenapa,
Sukar sangatkah?
Kau ekspresikan cintamu pada sebuah permandangan terhijab?
Pada Tuhanmu,
Dalam sujudmu,
Dalam tasbihmu,
Bukanlah kau semulia-mulia hamba?
Mengapa mesti kau memilih persimpangan berdosa?
Mengapa mesti kau hias nafsumu dengan nama agama?

Mudah sungguh engkau berdusta,
Menguntum mekar bait manisnya cinta,
Kau kata ini semua kerana redhaNya,
Apakau kau tahu Tuhan itu Maha Cemburu cintaNya?

Duhai sang pendamba cinta,
Jika kebahagiaan haqiqi yang kau mahukan,
Ketahuilah syurga itu mahal harganya,
Maharnya bukan nikmat duniawi,
Bukan juga pada topeng cinta islamik,
Tapi pada ikhlasnya pengorbanan diri,
Demi dan hanya kerana sebuah cinta Illahi.

Harumlah bau-bau syurga, dek meminta ingatan itu menjauh. Sesekali terkenang, segera hati kecil minta didekatkan. Betapa jiwa itu lemah. Lumrah jiwa pemuda dan gadis yang ingin segalanya tanpa syubhah. Saat perasaan itu bertasbih, cinta yang terpelihara kan menghampirkan mereka. 
Mungkin sahaja kesukaran sebelum tiba waktunya, takkan mampu merungkai makna keindahan selepasnya. Betapa kejelasan dan ketetapan sekeping hati, bukan kerna kerap sebuah pertemuan, namun kerna dekat sekeping hati menjauhi zina. Tatkala merindu hanya Tuhan bisa dengarkan. Tatkala mampu berbicara hanya doa mahu ia sampaikan. 
Betapa pertemuan dan perpisahan demi cinta dan takutkan Dia di atas sana, akan pasti bertemu kembali. Ia terpelihara sebelumnya. Malahan ia berbuah redha selepasnya. Berdoalah dan berusahalah. Semoga mencintai Tuhan, kan mendekatlah segala rasa suci yang terpelihara. 
Bukan Allah tidak mengetahui apa yang ada dalam hatimu.
Bukan Allah tidak mengetahui bayangannya selalu singgah dimindamu.
Bukan Allah tidak mengetahui rasa rindumu yang sering menggamit kalbumu..

Namun sahabatku,
Setiap fitrah itu ada peraturannya..
Supaya fitrah itu tersalur dengan mulia dan diredhainya..
Jadikanlah ujian ini sebagai lubuk pahala apabila diperisaikan dengan mujahadah.
Gagahkanlah hatimu..
Teguhkanlah langkahmu..
Kegagahan akan tercipta apabila dirimu berasa dinaungi cinta yang gagah.. cinta Allah..
Berdoalah suara-suara menjauh. Bertambahlah segala saksi. Bahawa bukan hanya malam yang melihat jiwa. Juga fajar dan setiap detik yang berusaha mengaminkannya. Andai nawaitu itu benar, andai jujurnya mampu mendiam, berdoalah terus berdoa. Dan hakikat jauh sebuah penantian, faktanya adalah 'ia sukar dan perit. Ia gundah bernada sama. Ia cemburu pada bahagia.'
Ayuhlah genggam tanganku.
Belajarlah untuk berkorban.
Bercintalah dengan kehidupan seorang hamba.
Bukankah Tuhan itu tidak akan pernah memungkiri janjinya?

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)
Ayat-ayat cinta, takkan pernah tertelan dek zaman. Bahawa janji Allah adalah sentiasa pasti. Cinta tidak harus memiliki. Cinta itu harus dibiar seri. Ditambah baja-baja hijrah dan istiqamah. Lalu nawaitu meluruskan iktikad. Dan terus, bertemulah titik cinta sejati. Yang sebelumnya dipenuhi rahsia.
Maaf, bukan aku tidak faham hatimu,
Aku juga seorang wanita,
Aku punya naluri manusiawi,
Ingin mencinta dan ingin dicintai,
Tapi mana mungkin hatiku yang beristighfar bersatu dalam jiwa yang bernoda?
Saat waktu itu berdetak tanpa hentinya, maka berkorbanlah untuk sebuah harapan. Memendam dalam-dalam. Pada puncak sifat malumu tertinggi. Bergasak sudah pasti, pada rencah dunia yang mengemis harap dari hatimu. Dan dirimu beristighfar, memenuhi tiap jasad anggota dan jiwa hamba. DEMI dan HANYA Tuhanmu bersuara, berbicara, menyentuh mulia. Tunduklah demi penyucian jiwa yang menjauhi fana dunia. Bersabarlah duhai jiwa yang lara. Menetaplah doa-doa pada harap yang saban hari ikhlasnya sama.
“Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik).” (HR al-Tarmizi).


Doa itu tak pernah memudar. Warkah sepi tak pernah berbicara. Hanya Tuhan yang jadi saksi. Betapa perihnya usaha. Memperbaiki dan memperindah. Maksud sebenar seorang pemuda dan gadis yang bertuhankan Allah swt. Dan menafilah nama-nama yang jujurnya diharapkan. Kerna takut pada zina yang hina. Kerna ingin segalanya berbeza. Suatu hari, bertemu pada jasa-jasa kecil. Yang tidak ternampakkan oleh jiwa punya anggota. Tuhan kan takdirkan yang terindah untuk yang baik. Dan yang terbaik untuk yang meningkat jiwanya.

Semoga dengan mujahadah ini, akan melakar sebuah cinta agung demi menempah sebuah mahligai syurga...

-Hamba Faqir Ilallah-
-Pengemis Redha Illahi-
-6.45 p.m-

p/s : Tulisan Italic adalah petikan dari blog ini : Saat Cintaku Bertasbih
p/p/s : gaya penulisan saya baru-baru ini agak berbeza ,mungkin kerana keadaan saya yang agak sibuk sekarang, saya kurang mempunyai masa untuk menulis sesuatu yang kritikal. Saya perbaharui penulisan saya lebih kepada penulisan puisi, kerana sebenarnya saya memang suka mengekspresi melalui puisi semenjak di bangku sekolah, tapi jarangkali saya pamerkan di blog. Penulisan puisi mengambil masa yang lebih singkat berbanding penulisan kritikal yang memakan masa berjam-jam lamanya.
p/p/p/s: post di atas mungkin agak emosional, meskipun ia berlatarbelakangkan peristiwa sebenar yang berlaku disekeliling saya, namun tidak bermakna pembaca boleh sekadar menjangka atau mereka cerita yang bukan-bukan tentang konflik yang saya alami. Erk, pendek kata, jangan salah faham sudah..
p/p/p/p/s: Saya menulis mengikut corak situasi dakwah semasa. Erk, bukankah sekarang musim kita berjiwang karat? Jangan bimbang, saya akan kembali normal dengan penulisan yang kritikal nanti...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...