Sunday, March 11, 2012

Nilai Sehelai Tudung Labuh

tarbiyyah adalah kekuatan,
yang mampu mengubah duri jadi mawar,
mengubah cuka jadi anggur,
mengubah sedih jadi riang,
mengubah amarah jadi ramah,
mengubah musibah jadi muhibbah,
itulah tarbiyyah..

sekalipun tarbiyyah telah ku uraikan,
dan ku jelaskan panjang lebar,
namun jika tarbiyyah kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri...

meskipun lidahku telah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah, tarbiyyah ternyata lebih terang..
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya..

kata-kata pecah berkeping-keping,
begitu sampai kepada tarbiyyah..
dalam menguraikan tarbiyyah,
akal terbaring tak berdaya,
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur..
tarbiyyah sendirilah yang menerangkan tarbiyyah dan pentarbiyyahan..

Puisi Anna Anthafulnisa tentang cinta, yang diubah perkataan "cinta" menjadi "tarbiyyah" dalam Filem Ketika Cinta Bertasbih.

Salam tarbiyyah kuhulurkan bersama pelukan iman, semoga hari ini menjelma bersama sebuah inspirasi baru, untuk memburu mardhotillah dalam mencari syurga Illahi. Allahumma amin..

Terasa 5 tahun seperti amat cepat berlalu. Aku tatapi semua detik-detik melangkah ke alam penghijrahan. Bukan mudah untuk menanggalkan karat-karat jahiliyyah yang pernah bertandang bersama nikmat yang amat mengghairahkan bagi siapa sahaja yang cintakan dunia. Tudung pendek yang jarang dibuang, lagu-lagu Western dipadamkan dari kotak memori gegendang telinga, baju-baju pendek disorokkan dalam almari usang, nombor-nombor lelaki ajnabi dipadamkan dari memori telefon bimbit. Ah.. bukan mudah, segalanya memerlukan kekuatan. Kalam-kalam Tuhan kupeluk erat, rahmatNya kujelajah meskipun tersembunyi disebalik ujian. Jika nikmat dunia itu lebih kucintai, mungkin sahaja aku kembali menggenggam aset jahiliyyah yang bernilai dengan harga "sementara". Namun, betapa janji Tuhan itu pasti, ujian kasih sayangNya akan menanti bagi siapa yang benar-benar ingin menghiasi imannya dengan cinta Illahi.

Betapa saat itu kehidupan sedang berbicara denganku. Hampir sahaja aku terjatuh dipersimpangan tarbiyyah dan jahiliyyah. Kedengaran seperti Dia sedang berbisik kepadaku,

"Jangalah kamu berasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sedangkan kamulah yang paling tinggi darjatnya, sekiranya kamu beriman.. " (Ali-Imran :139)

Maka dalam sisa-sisa kekuatan yang tinggal, kalamNya kupeluk erat.. Allah..

"Cukuplah Allah bagiku, tiada Tuhan selainNya, dan hanya kepadaNya aku bertawakkal.."
 (At-Taubah :129)

Ya, saat itu kehidupan berbicara denganku tentang kekerdilan seorang hamba. Kehidupan sedang mengajarku tentang kebesaran Yang Maha Esa, yang membutuhkan aku untuk tunduk dan berharap sepenuhnya kepadaNya. Kehidupan sedang berbicara denganku dengan menconteng noda-noda jahiliyyah yang pernah terhias indah dalam potret hidup aku. Kehidupan sedang berbicara denganku agar berlumba-lumba mencari rahmatNya yang tersembunyi disebalik setiap ujian. Betapa mahalnya hidayah Allah itu, maka aku tidak perlu untuk berdalih bagi membayar hidayah itu dengan suatu kesusahan.

********************************************************************************

Sebuah Penghijrahan

waaa.. comel-comelnya semua!

Hati aku semakin berbunga-bunga apabila melihat semakin ramai muslimat yang bertudung labuh disekelilingku.. Kakakku juga kini alhamdulillah, telah berhijrah dengan identiti barunya. Maha Suci Allah, segala pujian hanyalah milikMu. Ya Allah, Kaulah Yang membolak-balikkan hati, thabatkan kami dalam agamaMu dan ketaatan kepadaMu..

Aku mengingati saat pertama aku bertudung labuh yakni ketika aku tingkatan satu semasa menuntut di sebuah sekolah SMKA. Betapa ketika itu jiwa aku memberontak, kerana merasakan pemakaian tudung labuh itu merupakan suatu yang kolot. Setiap hari aku menelefon ibuku agar mengambilku pulang kerana aku tertekan dengan ketegasan disiplin menutup aurat disekolah tersebut. Akhirnya ibuku akur, tak sampai seminggu disekolah tersebut, aku telah berhenti dan meneruskan persekolahan di sekolah biasa sebelum ke MRSM. Pada masa itu, aku merasakan itu adalah berita gembira untukku kerana berjaya melepaskan diri dari undang-undang yang sangat menyekat pada pandanganku.

Namun, Allah mengizinkan aku berbicara dengan hidayahNya ketika aku memasuki menengah atas di sebuah MRSM. Ketika itu, ada beberapa orang sahaja muslimat yang bertudung labuh di sekolah tersebut yang rata-ratanya terdiri dari BADAR. Pada mulanya, aku sering berfikir sendirian, walaupun soalan tersebut sangat lucu sebenarnya.

"Macam mana mereka nak bersukan? Tak leceh ke?"
"Macam mana nak pergi tandas? Macam susah nak asyik angkat tudung!"

Namun, jauh dari sudut hati, aku merasakan mereka seperti mutiara di tengah lautan. Mereka membayar sebuah harga taqwa dengan menjadikan pakaian mereka sebagai perisai malu yang mengekang virus muamalat yang tidak syar'ie. Dalam diam aku berasa sangat kagum dengan mereka. Lebih-lebih lagi selepas menerima tarbiyyah dari kakak-kakak BADAR, aku dapat merasakan aku perlu melakukan keputusan terbesar dalam hidupku demi memburu sebuah redha Illahi. Perlahan-lahan aku berubah, dari tudung yang jarang kepada yang tidak jarang, dari tudung 45" ke 50", dari tudung 50" ke 60" dan akhirnya bertudung labuh bulat.

Bukan mudah untuk melakukan penghijrahan ini. Niat yang ikhlas bersama keazaman yang tinggi melangit yang diluruskan hanya mengharap redha Illahi menjadi paksi kepada perjalanan ini. Bertudung labuh bukan kerana keayuan, tapi hanya kerana itu sebuah tuntutan.



""Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

"Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu..."

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.

Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)

Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

Subhanallah, hebatnya rahmatNya yang berseni dalam mencorakkan kehidupan hamba-hambaNya yang bertaqwa. Pernah suatu ketika aku pulang dari MRSM ku yang terletak di Melaka seorang diri, malangnnya aku ketika itu kerana tiket bas sudah habis, aku terpaksa pulang sendiri dengan hanya menaiki KTM dari Seremban. Sampai di ibu negara, pada masa itu jam telah menunjukkan pukul 11 malam. Dan aku keseorangan di sana. Sementara menunggu KTM, tiba-tiba aku dihampiri seorang lelaki, yang berperwatakan seperti seorang samseng, memakai jeans yang koyak-rabak, memakai subang ditelinga, baju tanpa lengan. Pada mulanya aku kira dia seorang cina, kerana melihat wajahnya seiras cina, kalau tidak pun mungkin Nyanmar atau pendatang asing. Dalam hati aku berzikir, "Hasbunallahwanikmal wakiil, nikmal maula wanikman nasir.."

Dia mengambil tempat duduk disebelahku. Hampir sahaja aku menggigil ketakutan ketika itu. Tiba-tiba dia bertanyakan kepadaku.

"Nak ke mana dik?" tanyanya, ringkas.
"KL Sentral. " Jawabku, pendek dan tegas.
"Samalah kita... " dalam hati aku mendengus. Tak tanya pun..
"Nama adik ape? " Aku mendiamkan diri. Entah mahu jawab atau tidak soalan itu.
"Nama saya Islam."
Dia terdiam. Mungkin sahaja tersentak. Lantas menjawab,
"Alhamdulillah... " terkejut aku, Islam juga mamat ni rupanya. Selepas itu dia bingkas bangun dan meninggalkan aku. Aku menarik nafas lega, alhamdulillah, imej Islam aku telah menyelamatkan aku dari terus diganggu oleh dia. Aku membayangkan andainya aku memakai pakaian menjolok mata saat itu, apakah yang akan berlaku pada aku. Naudzubillahimin zalik..



Kepada muslimah yang ingin bertudung labuh, tahniah saya ucapkan, kerana kalian sekaligus telah menyelamatkan diri kalian dari golongan yang disebut dalam hadis ,

"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

Mengapa saya mengatakan demikian? Hal ini kerana, seorang muslimat bertudung labuh telah meletakkan harga taqwa yang sangat tinggi pada dirinya, yang secara naturalnya melahirkan rasa takut sekiranya dirinya melakukan dosa yang bertentangan dengan hakikat yang ada pada sehelai tudung labuh. Seorang muslimat bertudung labuh tidak enak dipandang sekiranya beliau memadankan tudung labuhnya itu dengan pakaian yang sendat, kaki yang tidak berstoking, mahupun muamalat yang tidak terbatas dengan kaum ajnabi. Nah, kan saya dah kata, mahal harga taqwa pada sekeping tudung labuh ni!

Pedulikan betapa mahalnya sehelai kain itu.
Pedulikan betapa banyaknya masa yang dihabiskan untuk menggosok tudung itu.
Pedulikan mata-mata yang memandang yang merasakan kamu ketinggalan zaman.
Pedulikan tudung-tudung yang beraneka fesyen yang terpamer di pasaran.

Bukankah redha Allah yang kita harapkan?
Luruskan niat membuat perubahan hanya kerana Allah.
Tewaskan pakcik-pakcik syaitan yang sentiasa berusaha merenggut nilai keikhlasanmu.
Berdirilah atas titian taqwa !
Runtuhkanlah nilai jahiliyyah yang menghiasi potret nafsumu!

Ingatlah.. kita di dunia tak lama... Selepas kaki kita melangkah ke syurga, kita berehat sepuas-puasnya.... :)
Insya Allah. !

Semoga diriku, dirimu dan sesiapapun yang berhasrat untuk bertudung labuh, ayuh, apa tunggu lagi? Bukankah syurga yang luasnya seluas langit dan bumi sedang menunggu kita?

p/s : saya bukanlah ingin bermaksud muslimat yang tidak bertudung labuh itu kurang baik, Allah sahaja lah Yang Maha Mengetahui tinggi rendahnya iman seseorang. Segalanya-galanya bermula dari hati, bukankah baginda telah bersabda, “Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).” Percayalah, tudung labuh itu akan mendidik nafsu untuk tunduk kepada rasa kehambaan kepada Tuhan. Tak percaya, cubalah. (^_-)




5 comments:

  1. Hebatnya jawapan spontan, 'Nama saya Islam'.
    Comel ja :)

    ReplyDelete
  2. saya sukee =)
    Doakan saya hayati.
    Hayati, sin chan soleh ni boleh move ke kiri tak?
    selalu menggagu saya nak baca post yatie. hehe. ngada.

    ~AmalinaZolkeflee~

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah hayati :)
    coolnye awak jawab soklan laki tu..hahaa

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum.. akak ada cnp beberapa ayat adik and share di fb.. mohon halalkan :)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum .. mohon copy . syukran :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...