Sunday, December 19, 2010

Kit Kat...

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Selama beberapa hari ini saya terlalu banyak berfikir. Iye, mungkin sahaja anda boleh kategorikan saya sebagai seorang yang pemalas nak update blog kerana walaupun saya sedang berada dalam tempoh "cuti-cuti Malaysia" tapi saya masih tidak dapat meluangkan masa untuk menulis. Sedangkan post Ancaman Neo Mukazilah episod 3 belum lagi menjelmakan dirinya walaupun saya telah berjanji 2 minggu lepas. sedangkan Ustaz Hasrizal, Akh Hilal Asyraf , Dr. Faisal Tehrani yang sentiasa sibuk dengan tugasan yang menimbun tinggi masih dapat meluangkan masa untuk menulis sesuatu yang sangat bermanfaat untuk pembacanya setiap hari. Saya menjelajah di dunia maya, dan telah menemui banyak blog yang sangat bermanfaat untuk pembacanya. Kadangkala rasa diri sangat kerdil berbanding mereka.


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Iye, mengapa saya masih berlegar-legar dalam mencari matlamat saya menulis blog ini? Blog saya bukanlah menawan seperti blog sahabiah yang lain yang dihiasi dengan bunga bewarna-warni, kata-kata hikmah yang sungguh syahdu, gambar-gambar yang sangat cute.. saya cuba menjadikan blog ini sebagai medium untuk saya bermuhasabah pada masa yang sama berusaha untuk mengajak para pembaca memanfaatkan penulisan saya dengan menggali iktibar. Setiap saat, setiap hembusan nafas kita di muka bumi ini adalah anugerah dari Allah yang tiada nilainya. Alangkah ruginya jika setiap tarikan nafas yang saya hembuskan tiap kali saya menulis blog tidak menjadi input kepada akaun kanan yang dicatat oleh Raqib. Saya berasa takut jika amalan ini menjadi sia-sia. Kerana apa? Kerana hati saya tidak diiringi dengan zikirullah, dan rasa takut ketika menaip setiap kalimah dalam setiap post saya. Setiap perlakuan, perkataan dalam kehidupan kita di atas muka bumi ini perlulah didasari dengan kehendak untuk mencapai ketinggian darjat di sisi Allah, bukan di sisi manusia! Saya berasa takut jika blog Ashabul Yamin ini menjadi input akaun kiri yang akan dibentangkan di Sidratul Muntaha di khalayak jutaan manusia saat perhitungan amalan di akhirat nanti. Mungkin juga amalan ini akan memberatkan lagi timbangan Mizan pada bahagian amalan kebaikan dan barangkali amalan keburukan. (naudzubillahimnzalik). Apa yang saya harapkan, setiap kalimah tinta yang saya nukilkan di dalam blog ini akan menjadi wasilah kebaikan agar perjuangan saya mencapai keredhaanNya dimakbulkan.


Saya merasakan hati saya masih belum bersih dari noda-noda jahiliyyah yang acapkali menjengah untuk menggigit sanubari ketaqwaan saya. Kadangkala syaitan berusaha untuk menjadikan setiap gigitan itu ibarat "love bites" kerana meninggalkan titik-titik hitam dalam hati tanpa rasa kesakitan, tetapi keseronokan yang diberikannya. Saya masih belum dapat memisahkan diri dari belenggu sifat mazmumah walaupun Maal Hijrah sudah 12 hari menjelma. Iye, saya hanyalah manusia biasa, bukan seperti Rasulullah , Kekasih Allah yang dipelihara hatinya dari sebarang noda jahiliyyah. Saya tidak mahu menjadi seperti "cakap tak serupa bikin" seperti mana Allah menyebut di dalam Al-Quran di dalam surah as-Sof:


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.    (as-Saf:2-3)

Ayat di atas benar-benar mengetuk hati saya berkali-kali. Sekiranya hati saya mempunyai pain receptor, barangkali mungkin saya sudah berguling-guling menahan kesakitan. Allah mengatakan bahawa Dia amat membenci manusia yang mengatakan sesuatu tetapi tidak melakukannya. Saya telah meletakkan matlamat untuk mencari keredhaan Allah dengan menulis blog ini, tapi barangkali saya terlalu pantas meluahkan tinta tanpa menstrukturkan jalan-jalan untuk mencapai matlamat tersebut. Barangkali saya terlupa. Barangkali juga nafsu merenggut jiwa untuk melupakannya. Saya terlupa untuk meletakkan signboard TAQWA  pada jalan tersebut supaya jalan itu bersih dari kewangian bunga-bunga riak yang kembang mekar di tepian jalan menanti saya untuk memetiknya. Oh! Mengapa perlu saya berhenti untuk memetik bunga riak tersebut sedangkan saya tahu bunga itu akan layu? Mengapa saya melakukan sesuatu yang amat sia-sia? Bukankah perjalanan saya hanyalah pendek dan memerlukan tumpuan saya sebagai pemandu agar saya tidak tersalah jalan? Mungkin saya perlu berhenti sebentar untuk menservis kereta saya , mengisi minyak keikhlasan agar perjalanan menuju redhaNya menjadi lebih lancar.



Iye, itulah saya yang perlu saya lakukan. Muhasabah diri sebentar untuk mendidik nafsu agar tunduk kepada pengertian taqwa. Bukan sahaja dalam penulisan blog, tapi segenap aspek kehidupan lebih-lebih lagi dalam aktiviti-aktiviti tarbiyah dan dakwah. Kerana dakwah dan tarbiyah meliputi hampir seluruh lingkup kehidupan saya.

 ".....Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "
(Al-Hujurat: 13)


Wallahua'lam.

~Kit Kat~
~take a break~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...