Thursday, December 9, 2010

...Ancaman Neo Muktazilah : Episod 2...



(sekian lama menyepi..  kini kembali.. maaf , saya menambil masa yang agak lama untuk menyiapkan post ini kerana mencari sumber... mode serius…)

Dr. Yusuf Qaradhawi pernah mengatakan di dalam tulisannya:

“Di antara masalah yang paling penting yang sering saya ingatkan dalam beberapa buku yang saya tulis ialah berkenaan usaha musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dyakini kebenarannya tanpa ragu(musallamat) , dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini kebenarannya dan pasti (yaqiniyat) menjadi perkaya yang tidak pasti dan mengandungi pelbagai kemungkinan(muhtamalat) , yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas dan dapat mengikuti pendapat kanan atau kiri”.

Golongan liberal khusunya di Malaysia jarang mengakui mereka menganut fahaman liberal kerana itu kita perlu berhati-hati dengan setiap dakyah mereka. Bagaiman kita boleh mengenali mereka? Iaitu dengan kita mengenali fikrah atau pemikiran mereka, manhaj yang dibawa dan ciri-ciri yang ada pada mereka.

Antara bentuk fikrah atau pemikiran golongan liberal Islam ialah:

1)Mereka menganut fahaman pluralisme.

Pluralisme ialah fahaman di mana mengakui semua agama adalah sama yakni benar. Saya terkedu seketika apabila mengingati kenangan semasa saya di PLKN, seorang jurulatih beragama hindu mengajar kepada anak muridnya dengan mengatakan tidak perlu terlalu memikirkan tentang agama, kerana semua agama adalah sama yakni membawa kepada kebenaran. Kepercayaan sebegini adalah berbahaya, kerana sekaligus telah membawa satu kefahaman bahawa orang Islam tidak boleh mengiktiraf bahawa agama mereka sahaja yang benar.

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.  “(Ali-Imran: 19)

Dengan fahaman inilah, lahirnya fahaman Pancasila di Indonesia. Penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul. Di Malaysia, penularan pluralisme dapat dilihat melalui:

1)Sambutan kongsi raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama. Perkara ini pernah mendapat teguran dari Mufti dan para ulamak dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak kerana bertentangan dengan Islam , namun golongan Islam Liberal menolak pandangan mereka dengan mencemuh mereka berfikiran jumud dan kolot. (Argh!)

2)Beberapa menteri Muslim serta NGO muslim iaitu SIS telah menyokong penubuhan Interfaith Council(IFC) atau Majlis Suruhanjaya Antara Agama-Agama.  IFC telah dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Buddha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar pada 21 Ogos 2001. Antara kandungan memorandum tersebut ialah:
  1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan kepada Mahkamah  Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah sivil.
  2. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi seorang muslim.
  3. Orang-orang bukan islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  4. Tidak perlu dicatat dalam kad pengenalan seseorang muslim beragama Islam.
  5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut agama Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan murtad sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam.
  6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang mneukar agamanya dengan mmeluk agama Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak-anak.
  7. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memluk agama Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusaka selepas kematiannya.
  8. Orang-orang bukan islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan suci dalam islam dalam percakapan dan sebagainya.
  9. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah diadakan. Program dakwah agama lain selain agama Islam hendaklah dibenarkan.
  10. Orang-orang yang mmebayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan untuk membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan oleh orang-orang bukan agama Islam.
  11. Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah. (Gulp!)

2)Mendesak agar hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia.

Dalam isu murtad seperti kes Lina Joy(Azlina Jailani) , golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama Islam tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk kepada keputusan mahkamah Syariah.


“Jadi, isu sama ada kita hendak beri dia kebenaran atau tidak, tidak sepatutnya timbul. Itu bukan hak manusia. Urusan iman adalah urusan Allah dan hamba-Nya. Sebagai manusia, kita boleh menasihati dan memujuk, tapi tidak boleh memaksa seseorang untuk beriman dengan Allah, atau untuk tidak beriman. Ini jelas dalam Islam - tiada paksaan dalam agama. "
 
"SIS tidak pernah menyuruh Lina Joy untuk keluar agama Islam, tetapi kami berpendapat, hasrat beliau harus dihormati. Tiada siapa berhak menghalangnya kerana Perlembagaan Malaysia telah jelas menjamin hak kebebasan beragama dan seperti yang saya katakan tadi, Islam jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama.”
 

(ada banyak perkara menarik, mesti tengok! J)


Bagi kelompok Islam liberal yang jahil ini mereka berhujjah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran. Mereka manyalahtafsirkan ayat Allah yang berbunyi:

”Tidak ada paksaan dalam agama”
(al-Baqarah: 256)

Menurut ulamak-ulamak tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan islam , yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah. Orang Islam yang keluar agama Islam akan dikenakan hukuman berat di dunia dan di akhirat menurut Islam.

”Sesiapa yang menukar agamanya(murtad) maka hendaklah kamu membunuhnya”
(Riwayat Bukhari, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas)

Menurut golongan IL, ayat Al-Quran tersebut bukan hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam bahkan orang Islam yang ingin murtad. Mereka mengiyaskan perbuatan murtad dengan memakan riba yang tidak dikenakan sebarang hukuman di dunia. Sebaliknya orang Islam perlu diberi kebebasan untuk murtad tanpa sebarang hukuman di dunia kerana telah ditetapkan hukuman bagi mereka di akhirat. Rujuk tulisan Naziree Md. Yusof bertajuk “Toleransi Beragama dan Kesesuaian Hukuman Murtad di Malaysia “, Jurnal KANUN (Mac, 2006)


3) Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan IL menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang teresbut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan(PBT) dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan(JAWI) suatu ketika dahulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras oleh SIS dan NGO-NGO yang lain. Mereka mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan tersebut dianggap berrcanggah dengan kebebasan hak asasi manusia.


Tindakan SIS juga menimbulkan kontroversi apabila mengemukakan pendapat yang menentang isu pengharaman pengkid. Lihat ini.

“Jadi, SIS tidak mahu adanya wanita, terutama sekali remaja-remaja perempuan, dikacau dan diugut oleh pegawai-pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pertimbangan betul. Kita tak mahu ada wanita ditahan, dan masuk lokap tak pasal-pasal.


(ini belum masuk lagi artis-artis comel lote Malaysia yang di back-up oleh mereka setiap kali mereka ditangkap di pusat hiburan. Haisshh..)

4) Mendukung gerakan kebebasan wanita dan feminisme.

Antara perkara-perkara yang dituntut dalam gerakan ini adalah:

  1. Persamaan hak dalam penceraian.
  2. Menentang pemakaian yang menutp aurat yang didakwa sebagai kuno dan merampas hak kebebasan wanita.
  3. Persamaan hak dalam penceraian.
  4. Hak poligami lelaki perlu ditarik balik. (Gulp!)
  5. Menyeru wanita-wanita Islam agar mencontohi wanita-wanita barat.

Rujukan terlebih : http://www.musawah.org/

Di Malaysia, gerakan feminisme dijuarai oleh SIS dan juga beberapa individu pemimpin yang lain. Dalam isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan(Pindaan 2005) SIS dan beberapa kumpulan wanita lain telah menentang kuat undang-undang tersebut atas dakwaan kononnya ia menzalimi wanita. Sebelum itu, mereka juga menentang kuat Rang Undang-Undang Syariah Terengganu (Hudud) dengan membangkitkan polemic kononnya ia menzalimi wanita yang dirogol. Namun setelah diselidiki, terdedahlah bahawa dakwaan mereka itu berpunca daripada prasangka buruk terhadap undang-undang syariah dan juga kejahilan mereka.


SIS juga terkenal dengan kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka. Kumpulan tersebut diberikan ruang yang luas untuk membentangkan citra pemikiran mereka yang tersendiri melalui media massa. Puak liberal ini sentiasa berkokok seolah-olah mereka kaum wanita tidak mendapat layanan yang sewajarnya yang diistilahkan sebagai “social apartheid”.





Rujukan: 
Islam Liberal dan Pluralisme Agama, Riduan Mohd Nor dan Ahmad Adnan Fadhil, JUNDI Resources.
Islam Adil Untuk Semua, Abdul Hadi Awang, PTS Publication.


 Sekian. Bersambung di episod ke 3. Maaf, ingin sahaja saya teruskan, tapi apakan daya…
~sakit mata. Mata saya kabur. Nak meihat laptop ni pon berbisa sungguh. kalau ada kesilapan ejaan maafkan saya. Mungkin kifarah dariNya atas dosa-dosa yang dilakukan.  moga Allah redha. insya Allah.

1 comment:

  1. liberalism, rationalism,positivism, existentialism,mohammadenism(rujuk snouck hugrounje),modernism,...

    bnyak tol ism2 zaman skrg nieyh...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...